Monday, June 26, 2006

EXPLORING THE HISTORICAL CITY

Episod I:
Ayahanda terus memecut keretanya merentasi Lebuhraya Utara Selatan dalam hujan renyai menuju ke Negeri Melaka. Saya yang terjaga dari lena mula berasa bosan tatkala menyedari destinasi yang dituju masih belum kesampaian.

"Cuma beberapa minit sahaja lagi. Kamu cuba bersabar ya! Jangan bising!", tegas ayahanda tatkala melepasi Restoran Jejantas Air Keroh. Ayahanda risau andainya saya terus merengek, ayahanda terpaksa berhenti bagi menyediakan susu untuk saya, sekaligus memanjangkan lagi masa perjalanan malam itu sedangkan jam sudah menunjukkan 10.15 malam dan destinasi yang dituju hanya tinggal beberapa kilometer sahaja lagi. Bagaikan memahami arahan ayahanda, akhirnya saya diam saja tatkala ayahanda berbual-bual dengan saya.

Saya hadir di Melaka Bandaraya Bersejarah, pada malam 23 Jun 2006, buat pertama kali dalam hidup persis Laksamana Hang Tuah yang berjaya membawa pulang Puteri Hang Li Po untuk sultannya, sekurang-kurangnya dari segi sambutan yang diberikan oleh kawan-kawan bonda yang nampaknya begitu teruja melihat ketibaan saya. Tambah-tambah lagi bonda yang begitu gembira sekali melihat saya sudah pandai berdiri. Kebetulan pula Perdana Menteri juga berada di Melaka. Oleh itu pemandangan di sekitar Air Keroh dan Bandar Melaka tampak lebih indah dari biasa. Sementelah bonda pula berkursus dan menginap di MITC, tempat di mana aktiviti yang melibatkan Perdana Menteri berlangsung. Maka bertambah berserilah suasana.

Episod II:
Walaupun ayahanda tidak bekerja pada hari ini, beliau terpaksa juga bangun awal untuk menghantar bonda dari hotel penginapan kami ke tempat bonda berkursus. Saya yang tidur lewat malam tadi terpaksa juga mengikut ayahanda walaupun masih belum puas tidur.

Mujur juga pada waktu bonda berkursus, biliknya kosong. Saya dan ayahanda tidak melepaskan peluang ini untuk melelapkan mata walaupun sekali-sekala saya terjaga kerana kesejukkan.

"Ayuh bersiap. Kita nak keluar", ujar bonda sebaik sahaja programnya tamat menjelang tengah hari itu.

Perjalanan pada hari itu bermula dari Ancasa Hotel menuju ke Melaka Sentral kerana menghantar kawan bonda untuk pulang bercuti ke rumah menemui anaknya yang sebaya dengan saya. Kemudian kami terus menuju ke Mahkota Parade kerana bonda dan kawan-kawannya sudah tidak sabar lagi hendak bermain bowling. Mujur juga ada peta jalan yang banyak memandu arah kami menjelajah bandar Melaka ini. Kalau tidak, sudah pasti ayahanda hilang arah atau sesat ke suatu tempat yang tidak pasti.

Lewat senja itu, kami menuju pula ke Umbai. Kata ayahanda, Umbai terkenal dengan makanan lautnya.

"Istimewa sekali ikan bakarnya', kata ayahanda sewaktu menghasut bonda dan kawan-kawannya untuk makan di sana.

Saya tidak pasti bagaimana rasanya ikan bakar, tapi melihat cara ayahanda dan bonda meratah terubok bakar yang dicicah bersama sambal kicap, saya yakin makanan itu pastinya lazat. Bukan terubok bakar sahaja yang dipesan, malah ada juga kerang bakar, sotong masak keju, kupang masak masam manis dan juga sayur kailan yang dimakan bersama nasi lemak.

"Pertama kali datang, alang-alang berpenat dari jauh, baik makan puas-puas. Nanti menyesal pula", kata ayahanda menyedapkan hatinya barangkali apabila terpaksa membayar hampir RM80 untuk santapan makan malam bagi empat 4 orang.

Episod III:
Lewat petang itu, saya bersiap sedia untuk pulang ke Kuala Lumpur sedang manusia berduyun-duyun menuju ke MITC Air Keroh. Khabarnya ada majlis santapan makan malam terbuka untuk sesiapa sahaja. Saya tidak pasti majlis itu berkaitan dengan apa, jadi kami tak ambil kisah sangat. Lagipun ayahanda dan bonda telah pun menikmati hidangan makan malam yang enak di hotel.

"Dah sampai nanti telefon bonda ok?", pinta bonda sambil mencium pipi saya yang agak berisi ini berkali-kali. Melepaskan geram barangkali kerana kami akan berpisah lagi untuk empat hari berikutnya.

"Kamu jangan nakal-nakal ya. Jangan ganggu ayahanda nak memandu", pesanan terakhir bonda lalu meletakkan saya ke dalam bakul di sebelah tempat duduk pemandu. Saya memandang wajah bonda, jelas ada sedikit kesayuan di situ.

Saya mengambil keputusan untuk tidur sahaja bagi memberi peluang kepada ayahanda memandu dengan penuh tumpuan. Kata ayahanda, kami perlu sampai sebelum perlawanan bola sepak bermula. Barangkali terganggu dengan perjalanan yang tidak lancar akibat kesesakan lalu lintas ketika menghampiri bandar Seremban, saya akhirnya terjaga dan tanpa dapat ditahan-tahan lagi saya laparkan susu. Kali ini ayahanda akur dengan kehendak saya dan terus mencari hentian rehat yang terdekat. Lega rasanya dapat menikmati susu bancuhan ayahanda.

Akhirnya pengembaraan ini tamat juga pada jam 10.00 malam. Tatkala ayahanda memberhentikan kereta di luar rumah Ayah Long, Tok Ayah menyambut kepulangan saya dengan gembira. Ayahanda juga turut gembira kerana masih punya waktu untuk pulang ke rumah menyaksikan perlawanan bola sepak.

As a record: England 1 – Ecuador 0

No comments: