Wednesday, January 28, 2009

THE SIROME'S FAMILY DAY

Ditambah dengan cuti hujung minggu, tahun baru cina kali ini agak panjang. Maka kami bersepakat untuk melaksanakan satu program percutian keluarga yang terdiri daripada anak, cucu serta cicit Allahyarham Sirome bin Hitam. Tidak lupa, Opah yang merupakan isteri kepada Allahyarham juga tidak ketinggalan.

Kami namakan program ini sebagai Program Hari Keluarga “The Sirome’s Family”.

Seawal bulan Ogos 2008, 2 unit apartment 4 bilik di Ilham Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan telah ditempah bagi menempatkan 47 orang peserta dari kalangan 12 keluarga yang menyertai percutian kali ini. Ini merupakan kali pertama kami mengumpulkan tiga generasi Allahyarham Sirome bin Hitam dalam satu program percutian yang dirancang secara sistematik. Pelbagai aktiviti telah dijalankan dengan objektif untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan serta mengukuhkan lagi ikatan sillaturrahim antara ahli keluarga Allahyarham Sirome bin Hitam.

HARI PERTAMA:

Konvoi yang dirancang bermula dari R&R Seremban mula bertolak ke pantai peranginan Port Dickson setelah sebahagian besar peserta mula berkumpul seawal jam 9.15 pagi. Namun setelah ada yang tercepat dan terlambat, secara rasminya, kami mula berkumpul di persisir pantai Ilham Resort sekitar jam 1.00 tengah hari untuk berkelah sambil menikmati makanan tengah hari.

Sudah lama tidak berkelah barangkali, di tambah pula dengan tiupan angin dari Selat Melaka yang cukup mendamaikan, santapan kami pastinya lazat sekali. Konsep “pot luck” yang kami rancang menjanjikan pelbagai pilihan lauk pauk yang pastinya enak dimakan.

Selesai berkelah, kami mula menuju ke Ilham Resort bagi mendaftar masuk ke kediaman masing-masing. Walau pun jumlah kami agak ramai, dengan bilangan bilik yang terhad, kami cuba membuat penyesuaian sebaik mungkin bagi menjanjikan keselesaan kepada semua peserta.

Setelah mengenal pasti bilik masing-masing , kami berkumpul untuk mendengar taklimat ringkas tentang program kali ini serta melantik ketua bagi setiap rumah.

Ibarat berkempen untuk pilihanraya, setiap calon harus meyakinkan peserta kenapa dia yang patut dipilih menjadi ketua rumah.

Petang pertama di Ilham Resort dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua peserta. Anak-anak pastinya bagaikan sudah tidak sabar-sabar lagi untuk terjun ke kolam renang. Memandangkan cuaca yang masih terik, kami memberi kebenaran untuk anak-anak turun ke kolam bermula jam 5.00 petang.

Ada yang bersenam di gimnasium, ada yang mandi laut dan ada yang bermain bola tampar di pantai.

Ada juga yang sekadar bersiar-siar.

Pabila malam menjelang tiba, kami membakar ayam, daging lembu & kambing serta sosej yang dibawa untuk dijadikan santapan. Juga terdapat sedikit menu sampingan yang termasuk dalam pakej sewaan BBQ seperti nasi goreng, mi goreng serta buah-buahan. Nasi dan lauk lebihan tengah hari tadi juga turut dihidang untuk mengelakkan pembaziran.

Aktiviti makan malam BBQ ini dimeriahkan lagi dengan nyanyian karaoke yang disediakan oleh pihak hotel di gazebo bersebelahan. Ada antara kami yang tampil ke pentas menunjukkan bakat seni suara.

Sebenarnya ramai antara kami yang gemar berkaraoke. Bakat terpendam barangkali, keinginan untuk berkaraoke di khalayak dipendam sahaja. Namun apabila pulang saja ke kediaman, kamilah juara! Rock atau dangdut, balada atau rancak, kami bantai saja.

HARI KEDUA:

Seawal jam 5.30 pagi kami mula berkumpul bagi bersama-sama mengerjakan solat sunat tahajud, seterusnya solat subuh secara berjemaah. Walaupun ruang tamu kediaman kami agak sempit bagi menempatkan kira-kira 40 orang jemaah, tapi setelah diedjas-edjas kira boleh jugaklah. Yang penting nawaitu untuk beribadah itu harus diutamakan.

Selesai solat, kami dihidangkan pula dengan sedikit santapan rohani, yang disampaikan oleh Pak Nyah Manaf. Pak Nyah Manaf memang seorang yang serba boleh. Jadi imam boleh, tazkirah boleh, berubat budak menangis boleh, karaoke pun boleh. Seimbang dunia akhirat barangkali.

Seketika kemudian, Ayah Chik Norhalim mengajak kami bersenam. Bukannya jogging atau angkat besi, tetapi poco-poco. Lokasinya tidak ke mana. Dalam kediaman kami sahaja. Maka ramailah yang turut serta. Berpeluh juga dibuatnya. Sementara itu di rumah sebelah, AJK Pemakanan sibuk menyediakan makanan.

Keropok digoreng bertambah enak menggunakan dapur gas mudah alih yang dibawa sendiri serta baru dibeli.

Sarapan pagi hari ini ada sandwich telur, nugget, keropok goreng, ayam goreng serta bebola ayam & ketam yang direbus di dalam periuk nasi. Sebenarnya ayam goreng yang kami makan pada pagi itu merupakan lebihan malam tadi yang tidak habis ketika BBQ. Bila dah goreng sodap pulak. Dah jadi ayam goreng BBQ, sold out semua habis! Nasi putih dengan lauk pauk yang habis semalam pun kitorang recycle jugak. Selagi boleh dimakan, kitorang bedal jer.

Habis sarapan, semua dah happy, perut dah kenyang, kami lepak-lepak dulu sebelum memulakan aktiviti seterusnya: Motivasi modul 1, dengan tajuk "Kasih Di Sayang, Cinta Di Padu". Program ini diwajibkan ke atas setiap peserta yang hadir dalam percutian ini, tidak kira tua atau muda, kecil atau besar. Ayah Chik Norhalim selaku penceramah telah memainkan peranannya dengan baik sekali dalam menyampaikan isi kandungan motivasi ini. Penceramah juga bijak bermain dengan emosi menjadikan program ini penuh dengan gelak ketawa serta linangan air mata dari setiap ahli keluarga.

Lebih menarik kerana hari ini kami diwajibkan memakai t-shirt rasmi yang ditempah khas untuk percutian ini. Terima kasih kepada Ayah Chik Norhalim yang sudi menaja t-shirt ini.

Wajah-wajah ceria, suka & duka setiap yang hadir.

Anak-anak juga turut sama memeriahkan suasana.

Khusyuk mendengar amanat yang disampaikan.

Penggunaan teknologi terkini ketika menyampaikan kursus motivasi, lengkap dengan sistem audio dan video bagi mengelakkan kebosanan.

Lebih afdal andainya program seumpama ini dapat dilaksanakan di dalam dewan yang ruangnya lebih luas dan lebih selesa. Namun memandangkan kemampuan yang terhad, maka kami menggunakan saja apa yang ada. Setelah dialih perabot dari kedudukan asalnya, ruang tamunya cukup-cukup sahaja memuatkan kami yang ada. Bersila di lantai pun tak kisah. Janji mesej yang disampaikan tu dapat difahami.

Konsep bersalaman disusuli dengan pelukan mesra ala pak arab yang akan menjadi identiti dalam "The Sirome's Family".

Salah satu aktiviti ketika program motivasi. Cara menangani tekanan (stress).

Peserta sedang "dibuli" oleh Ayah Chik Norhalim.

Selesai bermotivasi kira-kira jam 12 tengah hari, masing-masing dibenarkan melakukan aktiviti sendiri. Maka, ada yang mengambil peluang ini untuk keluar bersiar-siar ke pantai Teluk Kemang. Anak-anak seperti lazimnya, terjun kolam lagi. Ada juga yang hanya berehat dan tidur sahaja di kediaman masing-masing. Ada juga yang ke bandar Seremban.

Aksi warna-warni di Pantai Teluk Kemang.

Tatkala petang menjelang tiba, kami bersiap sedia di padang Ilham Resort untuk menjalankan aktiviti yang seterusnya: Sukaneka.

Mengikut perancangan, di samping dua jenis permainan yang telah diperuntukkan untuk kategori kanak-kanak, AJK Penyelaras Sukaneka telah pun menetapkan tiga jenis permainan untuk setiap kategori dewasa, lelaki dan wanita. Namun disebabkan kesuntukkan masa kerana kami bermula lewat 30 minit dari masa yang dirancang, lalu kami hanya berjaya menghabiskan dua permainan sahaja untuk setiap kategori. Ditambah dengan dua lagi permainan untuk kategori berpasangan, secara keseluruhannya kami berjaya menghabiskan tujuh jenis permainan dalam masa satu setengah jam.

Pun begitu, terasa kemeriahan serta kegembiraan semua yang ada.

Kutip gula-gula untuk anak-anak.

Ini sape yang kutip gula-gula sebenarnya nie?

Persaingan sengit dalam acara kepit bola celah kangkang untuk kanak-kanak (kategori sekolah rendah).

Sukaneka kanak-kanak kedua: Rebut kerusi

Lepas kanak-kanak rebut kerusi, bapak-bapak pulak test power rebut kerusi. Sampai ada kerusi yang patah... dahsyat betul diorang ni main.

Giliran kaum ibu pulak berebut kerusi.

Barisan AJK Penyelaras Sukaneka yang bertungkus-lumus memastikan aktiviti ini berjalan lancar.

Permainan lain yang kami main termasuklah lari kepit bola (lelaki), gelecek bola (wanita), bom air (berpasangan) dan lari kepit bola di pipi (berpasangan). Tiada gambar... tak sempat nak shoot.

Dah penat bermain, kami bergambar kenangan beramai-ramai.

Malam kedua di Ilham Resort, kami serikan dengan program ucapan dan penyampaian hadiah kepada semua peserta yang turut serta dalam acara sukaneka serta cabutan bertuah untuk semua keluarga yang hadir.

Longgokan hadiah yang menjadi rebutan pada malam itu.

Sebelum makan malam, kami meraikan majlis hari jadi salah seorang ahli keluarga yang menyambut hari lahirnya yang ke-3.

Selesai makan-makan serta penyampaian hadiah, kalau mengikut perancangannya kami nak buat persembahan keluarga. Tapi sebab ada yang penat, letih dan mengantuk, akhirnya masing-masing buat hal sendiri. Namun ada juga yang meneruskan karaoke bagi memeriahkan suasana malam di Ilham Resort.

HARI KETIGA:

"Tubna Ya Allah, Tubna Ya Allah, Tubna Ya Allah" (kami bertaubat kepada-Mu Ya Allah!)

"Wa Rojakna Ya Allah, Wa Rojakna Ya Allah, Wa Rojakna Ya Allah," (dan kami kembali kepada-Mu Ya Allah!)

Kalimah zikrullah memuji kebesaran Yang Maha Esa berkumandang di pagi yang hening tatkala kami mula berkumpul bagi melaksanakan qiamul-lail secara berjemaah seawal jam 5.30 pagi. Walaupun sekadar melaksanakan solat sunat tahajud 2 rakaat, disusuli dengan solat subuh dan tazkirah pagi yang disampaikan oleh Ayahanda Tuan Haji Jamalludin, namun kesannya begitu terasa hinggakan ada yang menitiskan air mata.

Seketika kemudian, ada yang terlena menyambung mimpi yang terganggu. Kaum ibu pula sibuk menyediakan sarapan dan menyiapkan anak-anak. Sarapan pagi ini; nasi lemak yang telah siap ditempah dari warung berhampiran. Apa sahaja hidangan yang ada sungguh menyelerakan walau pun ia hanyalah seketul nugget. Berkat makan beramai-ramai barangkali.

Aktiviti seterusnya pada hari terakhir ini adalah program motivasi modul 2 yang sekali lagi disampaikan oleh Ayah Chik Norhalim. Dengan tajuk "Musafir Kehidupan", program kali ini agak berbeza dari sebelumnya dimana pengisiannya lebih beremosi serta meruntun jiwa dan raga setiap peserta, lantas membenarkan air mata mencurah-curah membasahi pipi. Terbayang wajah-wajah keharuan diselangi dengan riak-riak keinsafan mengisi setiap kekosongan. Kiranya hari ni memang sedih lah... sedih sangat sampaikan tak sempat nak shoot langsung... huhuhuhuhuhu!!!

Bagi menenangkan jiwa-jiwa yang kesedihan, kami berehat seketika sebelum program di sambung ke sesi yang lebih ceria. Sebelum berakhirnya program untuk hari ini, kami mengimbas kembali kenangan-kenangan yang sempat dirakamkan melalui lensa kamera serta dipertontonkan kepada semua peserta melalui projektor.

Akhirnya, sebelum meninggalkan program ini, kami bersalaman serta berpelukan antara satu sama lain tanda kemaafan serta terima kasih di atas kerjasama yang diberikan sepanjang berlangsungnya program hari keluarga ini.

Kami meninggalkan Ilham Resort dengan seribu satu kenangan, kisah suka dan duka sepanjang 3 hari 2 malam berkampung di sini. Menuju ke destinasi masing-masing, tidak siapa tahu bila lagi dapat kita ulangi percutian seperti ini.

Walaupun dengan bajet serta tenaga kerja yang terhad, Alhamdulillah, berkat perancangan serta kerjasama dari semua pihak, secara keseluruhannya program ini boleh dianggap berjaya serta mendapat maklum balas yang positif dari setiap ahli keluarga.

Maka dengan itu, penulis mewakili AJK penyelaras serta seluruh warga kerja program hari keluarga “The Sirome’s Family” mengucapkan jutaan terima kasih diatas kehadiran serta kerjasama yang telah diberikan oleh semua ahli keluarga. Kami juga memohon maaf andainya terdapat sebarang kelemahan serta kesilapan sepanjang program ini dilaksanakan. Sesungguhnya setiap yang baik itu datang dari Allah dan segala kelemahan datang dari kami sendiri.

Wassalam