Monday, June 26, 2006

EXPLORING THE HISTORICAL CITY

Episod I:
Ayahanda terus memecut keretanya merentasi Lebuhraya Utara Selatan dalam hujan renyai menuju ke Negeri Melaka. Saya yang terjaga dari lena mula berasa bosan tatkala menyedari destinasi yang dituju masih belum kesampaian.

"Cuma beberapa minit sahaja lagi. Kamu cuba bersabar ya! Jangan bising!", tegas ayahanda tatkala melepasi Restoran Jejantas Air Keroh. Ayahanda risau andainya saya terus merengek, ayahanda terpaksa berhenti bagi menyediakan susu untuk saya, sekaligus memanjangkan lagi masa perjalanan malam itu sedangkan jam sudah menunjukkan 10.15 malam dan destinasi yang dituju hanya tinggal beberapa kilometer sahaja lagi. Bagaikan memahami arahan ayahanda, akhirnya saya diam saja tatkala ayahanda berbual-bual dengan saya.

Saya hadir di Melaka Bandaraya Bersejarah, pada malam 23 Jun 2006, buat pertama kali dalam hidup persis Laksamana Hang Tuah yang berjaya membawa pulang Puteri Hang Li Po untuk sultannya, sekurang-kurangnya dari segi sambutan yang diberikan oleh kawan-kawan bonda yang nampaknya begitu teruja melihat ketibaan saya. Tambah-tambah lagi bonda yang begitu gembira sekali melihat saya sudah pandai berdiri. Kebetulan pula Perdana Menteri juga berada di Melaka. Oleh itu pemandangan di sekitar Air Keroh dan Bandar Melaka tampak lebih indah dari biasa. Sementelah bonda pula berkursus dan menginap di MITC, tempat di mana aktiviti yang melibatkan Perdana Menteri berlangsung. Maka bertambah berserilah suasana.

Episod II:
Walaupun ayahanda tidak bekerja pada hari ini, beliau terpaksa juga bangun awal untuk menghantar bonda dari hotel penginapan kami ke tempat bonda berkursus. Saya yang tidur lewat malam tadi terpaksa juga mengikut ayahanda walaupun masih belum puas tidur.

Mujur juga pada waktu bonda berkursus, biliknya kosong. Saya dan ayahanda tidak melepaskan peluang ini untuk melelapkan mata walaupun sekali-sekala saya terjaga kerana kesejukkan.

"Ayuh bersiap. Kita nak keluar", ujar bonda sebaik sahaja programnya tamat menjelang tengah hari itu.

Perjalanan pada hari itu bermula dari Ancasa Hotel menuju ke Melaka Sentral kerana menghantar kawan bonda untuk pulang bercuti ke rumah menemui anaknya yang sebaya dengan saya. Kemudian kami terus menuju ke Mahkota Parade kerana bonda dan kawan-kawannya sudah tidak sabar lagi hendak bermain bowling. Mujur juga ada peta jalan yang banyak memandu arah kami menjelajah bandar Melaka ini. Kalau tidak, sudah pasti ayahanda hilang arah atau sesat ke suatu tempat yang tidak pasti.

Lewat senja itu, kami menuju pula ke Umbai. Kata ayahanda, Umbai terkenal dengan makanan lautnya.

"Istimewa sekali ikan bakarnya', kata ayahanda sewaktu menghasut bonda dan kawan-kawannya untuk makan di sana.

Saya tidak pasti bagaimana rasanya ikan bakar, tapi melihat cara ayahanda dan bonda meratah terubok bakar yang dicicah bersama sambal kicap, saya yakin makanan itu pastinya lazat. Bukan terubok bakar sahaja yang dipesan, malah ada juga kerang bakar, sotong masak keju, kupang masak masam manis dan juga sayur kailan yang dimakan bersama nasi lemak.

"Pertama kali datang, alang-alang berpenat dari jauh, baik makan puas-puas. Nanti menyesal pula", kata ayahanda menyedapkan hatinya barangkali apabila terpaksa membayar hampir RM80 untuk santapan makan malam bagi empat 4 orang.

Episod III:
Lewat petang itu, saya bersiap sedia untuk pulang ke Kuala Lumpur sedang manusia berduyun-duyun menuju ke MITC Air Keroh. Khabarnya ada majlis santapan makan malam terbuka untuk sesiapa sahaja. Saya tidak pasti majlis itu berkaitan dengan apa, jadi kami tak ambil kisah sangat. Lagipun ayahanda dan bonda telah pun menikmati hidangan makan malam yang enak di hotel.

"Dah sampai nanti telefon bonda ok?", pinta bonda sambil mencium pipi saya yang agak berisi ini berkali-kali. Melepaskan geram barangkali kerana kami akan berpisah lagi untuk empat hari berikutnya.

"Kamu jangan nakal-nakal ya. Jangan ganggu ayahanda nak memandu", pesanan terakhir bonda lalu meletakkan saya ke dalam bakul di sebelah tempat duduk pemandu. Saya memandang wajah bonda, jelas ada sedikit kesayuan di situ.

Saya mengambil keputusan untuk tidur sahaja bagi memberi peluang kepada ayahanda memandu dengan penuh tumpuan. Kata ayahanda, kami perlu sampai sebelum perlawanan bola sepak bermula. Barangkali terganggu dengan perjalanan yang tidak lancar akibat kesesakan lalu lintas ketika menghampiri bandar Seremban, saya akhirnya terjaga dan tanpa dapat ditahan-tahan lagi saya laparkan susu. Kali ini ayahanda akur dengan kehendak saya dan terus mencari hentian rehat yang terdekat. Lega rasanya dapat menikmati susu bancuhan ayahanda.

Akhirnya pengembaraan ini tamat juga pada jam 10.00 malam. Tatkala ayahanda memberhentikan kereta di luar rumah Ayah Long, Tok Ayah menyambut kepulangan saya dengan gembira. Ayahanda juga turut gembira kerana masih punya waktu untuk pulang ke rumah menyaksikan perlawanan bola sepak.

As a record: England 1 – Ecuador 0

Tuesday, June 20, 2006

Selamat Berkursus, Bonda...

Pagi ini dingin sangat. Hujan turun mencurah-curah bagaikan menangisi perpisahan yang akan berlaku antara saya dengan bonda. Saya tersedar yang ayahanda tiada di sisi.

"Ayah kamu pulang ke rumah. Dia tidak tidur di sini, takut lewat ke tempat kerja", bonda memberitahu tatkala Tok Ma datang menjenguk pagi ini.

Saya dan bonda bermalam di rumah Ayah Long. Hari ini bondaa akan berkursus ke Melaka. Mujur juga Tok Ayah sudi menemankan bonda menaiki bas di Shah Alam. Kalau tidak, pasti ayahanda terpaksa mengorbankan cuti sedangkan ayahanda juga sedang berkursus di pejabatnya.

Buat pertama kalinya, malam ini tidur saya tidak lagi ditemani bonda. Hari ini, besok dan sepuluh hari berikutnya. Mujurlah ayahanda berjanji untuk membawa saya berjumpa bonda pada hari minggu nanti.

Friday, June 16, 2006

FIRST NIGHT

Malam tadi ayahanda buat rekod. Memandu dari rumah ke Equine Park sepatutnya hanya mengambil masa 5 minit sahaja, tapi malam tadi ayahanda buat 30 minit.

Dan untuk rekod lagi, buat pertama kali dalam sejarah, keadaan lalu lintas di sekitar Equine Park sesak teruk, terasa bagaikan berada di Jalan Tun Razak pada waktu puncak. Semuanya gara-gara Jusco Equine yang julung kali memulakan operasi.

"Oh! Rupanya sudah ramai yang menghuni kawasan ini", kata ayahanda yang langsung tidak menyangka akan menjadi mangsa kesesakan malam itu.

" Pastinya harga rumah di kawasan ini meningkat berganda-ganda", bonda menyampuk sambil ayahanda membayangkan suasana di kawasan itu 2 tahun yang lalu. Tiada apa yang boleh dibanggakan, malah kalau diberitahu Puncak Jalil, pasti ramai yang keberatan untuk sudi bertandang.

30 minit kemudian, kami bertiga berjaya juga menempuh kesesakan tersebut dan ayahanda dengan segera mencari petak letak kereta yang masih kosong. Ahhh... kebetulan pula, ianya terletak betul-betul di hadapan pintu masuk pusat membeli-belah itu.

Suasana di dalam amat mengagumkan. Manusia yang entah dari mana datangnya bersama-sama memeriahkan malam pertama Jusco Equine. Seperti juga ayahanda dan bonda, mereka pastinya mengharapkan sesuatu yang istimewa pada malam itu, walaupun ianya cuma sebiji belon.

Malam semakin tua. Manusia-manusia ini semakin gila berbelanja walaupun tiada harga runtuh ditawarkan. Cuma sedikit promosi pengubat duka. Dan saya terlena juga di pangkuan ayahanda sedang bonda masam mencuka menunggu giliran untuk membuat pembayaran.

Akhirnya kami pulang..... hampa.......

Saturday, June 10, 2006

An Evening in Kuala Terengganu

Pagi-pagi lagi bonda dah kejutkan saya, mandikan saya. Airnya memang sejuk, tapi bonda dah campurkan dengan air panas, maka jadilah ia air suam. Katanya nak ke Kuala Terengganu, ada kenduri kahwin sepupu ayahanda.
Suasananya memang meriah. Orang tak putus-putus datang. ayahanda sibuk membantu apa yang perlu. Bonda pula setia menjaga dan menurut segala kehendak saya. Oleh kerana orang ramai sangat yang datang, ditambah pula dengan suhu yang amat panas, peluang untuk saya melelapkan mata dengan sepuas-puasnya amat tipis.

"Irfan...Irfan..."
"Eh... comelnya budak nie"
"Aummm... cakkkkk!!!"

Mana yang bernasib baik tu, dapatlah melihat saya menguntum senyum mesra. Kalau keadaan rasa kurang selesa, saya buat-buat meragam, tapi meragam pun sikit-sikit je lah... nak meragam lebih-lebih terasa malu pulak pabila berada di rumah orang.

Esok saya akan pulang ke Kuala Lumpur, kota yang penuh cabaran dan dugaan... tak setenang deruan ombak di Pantai Teluk Ketapang.

Tuesday, June 06, 2006

06.06.06

Saya fikir tarikh ini cantik. Sahabat ayahanda di pejabat pun fikir begitu. Tidak seperti tahun-tahun sudah yang mempunyai tarikh seragam begini, tiada apa yang boleh saya dilakukan kerana tiada satu makhluk pun yang tahu akan kewujudan saya di atas muka bumi ini.

Melancarkan web blog sendiri mungkin salah satu idea yang bagus, lebih bagus daripada tiada apa yang boleh direkodkan pada tarikh yang cantik ini."Thanks ayahanda for documenting my life", ayahanda selalu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan saya. Ayahanda nak membiasakan saya dengan bahasa itu seawal yang boleh.

Rasanya masih belum terlewat untuk memulakan kisah hidup dalam satu catatan peribadi yang boleh digunakan hingga ke hujung nyawa. Mungkin juga ia dipunyai oleh pemilik paling muda.

Oh! Sudah 106 hari rupanya saya sudah melihat dunia, namun saya masih tidak mengerti apa-apa. Melihat wajah ayahanda dan bonda membuat aksi melucukan kadang-kadang rasa nak tergelak ada, rasa bosan pun ada.

Hari ini ayahanda demam. Dapat MC. Dapatlah saya bermain-main dengan ayahanda.