Thursday, August 07, 2008

HISTORIC CITY OF THE STRAITS OF MALACCA

Percutian yang dirancang selama ini akhirnya menjadi kenyataan. Walau pun destinasi yang dipilih tersasar dari perancangan awal, namun memberikan peluang pertama kali menjejakkan kaki ke kota percutian A Famosa Resort, Alor Gajah Melaka.Kiranya inilah kali kedua saya ke Melaka (kali pertama sila rujuk catatan "Mengembara di Alam Sejarah June 2006). Saya memulakan perjalanan pada jam 8.30 pagi setelah berkali-kali dipaksa oleh ayah dan bonda supaya bangun awal dan bersiap dengan segera. Kami singgah di perhentian R&R Seremban untuk bertemu dengan rombongan-rombongan lain yang turut serta dalam percutian kali ini. Setelah semuanya berkumpul, kami bersama-sama menuju ke Melaka. Destinasi pertama kami adalah Bandar Melaka.
Cuaca yang tadinya panas tiba-tiba sahaja bertukar hujan setibanya kami di Bandar Melaka. Mujur juga hujan itu sekejap sahaja, lantas memberi peluang kepada kami untuk mencuba kehebatan Menara Taming Sari yang merupakan salah satu mercu tanda moden di negeri Melaka. Dengan bayaran sebanyak RM10 seorang (dengan syarat MyKad disertakan semasa pembelian), rasanya hampir separuh gondola itu didiami oleh kaum keluarga kami sahaja. Pengalaman pertama meluncur ke puncak, serta berada di ruang udara Bandar Melaka pada ketinggian dengan sudut pandangan 360 darjah amat mempersonakan.
Seketika kemudian, kami bersiar-siar di sekitar Bandar Melaka yang mempertontonkan pelbagai jenis monumen bersejarah yang menjadi aset utama negeri Hang Tuah ini, sementelah kunjungan kami sejurus ketika Melaka ditabalkan sebagai salah satu bandar warisan dunia di Selat Melaka oleh UNESCO. Tidak lupa juga untuk menaiki beca berhias bersama-sama Tok Ma dan Tok Ayah. Rancangan kami untuk menaiki gondola menyusuri Sungai Melaka terpaksa dibatalkan lantaran kekangan masa yang begitu singkat.
Kami menikmati hidangan makanan tengah hari di Pantai Klebang yang tidak begitu indah pemandangannya lantaran kerja-kerja penambakan di sepanjang pesisir pantai tersebut. Namun kombinasi perut yang lapar dan keenakkan bekalan yang dibawa dari rumah membuatkan kami tidak memperdulikan hal-hal yang berkaitan dengan persekitaran. Di tambah dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa menjadikan hidangan tengah hari itu amat menyelerakan.
Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke Alor Gajah dan tiba di A Famosa Resort setelah menempuh perjalanan yang agak mengelirukan melalui jalan-jalan kampung yang asing bagi saya. Bonda telah menempah sebuah banglo empat bilik sebagai tempat penginapan kami, lengkap dengan kolam renang peribadi yang tidaklah terlalu besar namun mencukupi untuk keperluan kami sekeluarga. Hari pertama banyak masa hanya dihabiskan dengan bersantai di banglo sambil berendam di dalam kolam renang.

Walaupun A Famosa Resort menawarkan pakej pelancongan yang menarik dengan pelbagai aktiviti dan tempat untuk dilawati, tetapi bukan percuma. Sementelah si pelawat terpaksa mengeluarkan wang tambahan, maka niat tersebut kami matikan begitu sahaja memandangkan harganya memang tidak boleh tahan! Rancangan untuk berkaraoke pula tidak menjadi lantaran kekurangan kelengkapan. Akhirnya kami bersantai sambil makan-makan sahaja.
Hari kedua, menjelang tengah hari kami mula bersiap-siap untuk pulang. Sebelum pulang ke rumah, sempat juga kami singgah sebentar di Nilai 3 walau pun sebenarnya tiada apa yang hendak dibeli.

Tahun depan kami akan berkumpul lagi, bersama-sama menyertai program hari keluarga ini pastinya ke suatu tempat yang lebih menarik.

No comments: