Monday, October 29, 2007

AIDILFITRI 1428H

Jauh kami berjalan. Raya pertama dan kedua dari Putra Heights, USJ kami beraya di sekitar Cheras Perdana, Sentul, Bukit Lanchong dan Serdang. Pagi raya ke-3 bertolak ke Dungun, Terengganu. Singgah sebentar di Kijal untuk membeli Satar kegemaran mama, tapi masih belum dijual. Yang ada hanyalah lemang, lemang dan lemang.

Sehari sebelum raya, papa tidak sihat. Disebabkan jarang sakit, papa sendiri tidak pasti dia demam hinggalah Tok Ayah sendiri yang memberitahu kami papa demam. Hinggalah ke raya-4, barulah papa kebah dari demam. Raya ke-4 dari Dungun menuju pula ke Kuala Terengganu, seterusnya ke Teluk Ketapang, Wakaf Tengah, Sungai Tong di Setiu, patah balik ke Bukit Tunggal berhampiran Jambatan Sultan Mahmud, masuk ke Kampung Losong dan sebelum pulang singgah pula di Marang. Raya ke-5 dan ke-6 sekitar Dungun sahaja.

Raya ke-7 kami bertolak dari Dungun menuju ke rumah keluarga Tok Su di Kuala Lipis. Papa yang kali pertama ke Kuala Lipis hanya mengikut arah panduan papan tanda jalan sebagai lanjutan dari panduan yang diberikan Tok Su melalui SMS. Taip Tok Su kalau dari LPT, masuk ke Maran, kemudian terus ke Jengka – Jerantut – Kuala Lipis. Kerana mengikut papan tanda, dari Maran, kami terus mengikut satu jalan yang mengarah ke Kuala Lipis. Rupanya cabaran menanti. Dalam suasana hujan lebat, Kami melalui jalan kampung yang sempit dan berliku di Kuala Sentul mengikut arah ke Jengka / Jerantut. Setelah dianalisa, rupanya kami melalui jalan belakang yang secara keseluruhannya sempit dan berliku. Sudahlah begitu, hujan pula turun mencurah-curah sepanjang perjalanan kami. Hinggalah sampai ke Bandar Kuala Lipis, barulah terasa lega. Selamat juga akhirnya.

Tok Su menetap di kawasan perumahan kakitangan di Felda Kechau 8.

Pulang dari Lipis, sekali lagi laluan penuh berliku menanti setelah kami mengambil keputusan mengikut jalan pintas untuk menuju ke Bukit Beruntung / Templer Heights. Segalanya bermula selepas Bandar Raub, kami mula merentasi banjaran Titiwangsa, memanjat jalan ke Bukit Fraser untuk keluar melalui Kuala Kubu Baharu. Jalan turun naik bukit diselangi dengan selekoh tajam dalam keadaan hujan lebat sememangnya mencabar kemahiran memandu seseorang.

Alhamdulillah, walau jauh kami berjalan, merentas hutan, meredah hujan, meneroka jalan yang tidak pernah kami lewati, kami tetap selamat sampai ke destinasi. Iswara 1.3 papa sememangnya tidak mengecewakan (walaupun tayar sedikit botak).

1 comment:

Izariza said...

Salam,
Lama berehat .. takde entri barukah? :)