Wednesday, January 09, 2008

AIDILADHA 1428H

Aidiladha kami menjelajah lagi. Mula-mula balik kampung, dari Puchong ke Dungun, membelah lewat malam Aidiladha melewati lebuhraya dari barat ke timur mengambil masa agak lama dari biasa disebabkan kesesakkan di sepanjang laluan keluar dari lembah kelang dan tol-tol plaza, hinggakan plaza tol Jabor yang selama ini lengang, penuh sesak dengan kenderaan pada jam 3 pagi. Mujur juga banjir telah pulih. Jika tidak, pasti kami tersangkut dimana-mana.

Selang 2 hari kemudian, perjalanan diteruskan lagi dari Dungun ke Ipoh untuk memenuhi jemputan perkahwinan sepupu mama. Pengalaman baru merentasi laluan Dungun – Jerangau – Kuala Berang – Gua Musang – Ipoh, mengambil masa antara 6 ke 7 jam untuk disempurnakan. Laluan santai dari Dungun hingga ke Kuala Berang, seterusnya menuju ke persimpangan Tasik Kenyir bertukar kepada laluan penuh berliku merentasi hutan belantara tetapi menyeronokkan, memecut dan melayan selekoh di laluan yang cantik dan sangat lengang. Hanya sesekali berselisih dengan kenderaan lain. Tengkujuh di pantai timur diburukkan lagi dengan lereng-lereng bukit yang runtuh di beberapa kawasan, malah ada satu laluan yang telah runtuh sebahagian darinya menyebabkan kami terpaksa dilencongkan ke laluan tanah merah. Ngeri juga melihat gaung menjunam ke bawah. Mulanya kami bayangkan laluan yang ditempuhi merupakan jalan yang ditar cantik hingga ke pekan Gua Musang, namun sampai suatu ketika sedar-sedar kami telah pun melalui kawasan ladang sawit yang begitu asing. Kawasan itu namanya Felda Aring dan Felda Chiku, Jalannya sempit, tidak rata dan nampak seperti belum siap sepenuhnya, berterusan hinggalah kami keluar ke laluan utama Kota Bharu – Gua Musang. Agak mencabar, tetapi sangat berbaloi dan perjalanan dapat dipendekkan jika kami membuat laluan Grik – Jeli ataupun merentasi laluan Genting Highlands melalui LPT.

Selepas Gua Musang, jalan yang dilalui kembali sempurna tetapi masih lengang. Pertama kali merentasi Banjaran Titiwangsa, melalui kawasan penempatan orang asli di Pos Blau dan Pos Selim, kawasan pertanian sayur di Lojing yang suatu ketika dahulu pernah menjadi kontroversi akibat penarahan bukitnya seterusnya laluan ke Cameron Highlands, akhirnya keluar ke Jalan Gopeng.

Saga Iswara 1.3 papa cemerlang lagi!

1 comment:

SYCLONE said...

Memang cemerlang. Maklom la ada MP3 player...