Monday, May 14, 2007

EXPLORING LANGKAWI

Siapa yang tidak kenal Langkawi? Walaupun sudah lama tersohor, pada ayahanda dan saya, inilah kali pertama kami menjejak kaki ke pulau yang masyhur ini. Mama pernah ke sini, satu ketika dahulu, ketika masih kanak-kanak.

pengalaman pertama menaiki pesawat komersil

Penerbangan pesawat Air Asia dari Terminal Tambang Murah LCCT menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi tidak lama. Kira-kira 35 minit. Gamat seketika sewaktu dalam penerbangan, tatkala kapten mengalu-alukan kehadiran penumpang sambil memaklumkan bahawa kami adalah penumpang komersil pertama yang menggunakan pesawat Airbus A300 yang baru dibeli, disambut dengan tepuk sorak penumpang-penumpang lain. Rupa-rupanya, itulah bau "benda baru" atau kata orang "bau kedai" yang menangkap deria bau kami semasa mula-mula melangkah masuk ke perut pesawat tersebut, ditambah pula dengan bangku pesawat yang kelihatan cantik dan kemas. Tidak puas rasanya melelapkan mata, tiba-tiba sahaja penerbangan kami bersiap-sedia untuk mendarat.

aksi kuak kupu-kupu di kolam renang Langskasuka Beach Resort

Hari pertama di Langkawi, kami hanya berlegar di sekitar pantai dan kawasan penginapan kami. Puas bersiar-siar, kami ke kolam renang untuk berendam. Satu perkara yang menarik perhatian saya ialah telefon talian tetap yang disediakan di dalam bilik penginapan. Pantang berjumpa, perasaan untuk bermain dengan benda itu pasti melonjak. Puas papa dan mama mencari helah untuk menyembunyikan barang milik hotel tersebut, bimbang juga kalau rosak.

kontrol hensem dalam kereta kabel

Esoknya, sebaik sahaja selesai bersarapan dan berjaya mendapatkan sebuah kereta sewa model Perodua Kelisa, saya terus menuju ke Oriental Village. Misi hari ini ialah mendaki Gunung Mat Chincang, dengan kereta kabel pastinya. Terbentang indah, saujana mata memandang, panorama alam ciptaan Tuhan, serta struktur kejuruteraan yang hebat.

jangan jadi macam buaya... pemalas!!!

Tidak puas mendaki, saya menjelajah lagi menyusuri kawasan kampung di sekitar Langkawi menuju ke Taman Buaya Langkawi. Saya tidak pasti adakah saya kurang berani dengan reptilia ganas itu, atau saya memerlukan lebih tidur serta makanan menyebabkan saya seringkali merengek dengan usikan papa dan mama setiap kali ditakutkan dengan sang buaya.

this is what we called "CUTI-CUTI MALAYSIA"

Hari merangkak petang... penat! Terbayang tilam dan bantal di tempat penginapan saya seterusnya, Awana Porto Malai. Saya memilih untuk menginap di bilik yang mempunyai pandangan menghadap laut. Senang sekali untuk melihat deretan bot dan kapal layar yang keluar masuk ke marina. Dalam kepenatan, sempat juga saya bersiar-siar di pesisir marina sambil memberi makan ikan-ikan yang berenang-renang bebas. Tidak lupa telefon di bilik penginapan, nampaknya sungguh menarik sekali.

mengintai dari tirai kaca

Hari ketiga, masih ada waktu untuk saya melawat Langkawi Waterworld, atau lebih mudah jika dipanggil 'zoo ikan'. Tidak jauh dari Awana Porto Malai, saya kira ini tempat terbaik untuk mengenali spesies ikan serta beberapa fauna hutan hujan tropika. Puas berlegar di Waterworld, saya menuju ke pekan Kuah. Saya terus mendaftar masuk ke hotel Eagle Bay untuk berehat seketika sebelum menyambung perjalanan seterusnya. Mata juga kelihatan agak kepenatan dan kami bercadang untuk melelapkan mata seketika. Sebenarnya saya sudah hampir terlena ketika dalam perjalanan ke pekan Kuah, tetapi terus terjaga sebaik sahaja melangkah masuk ke bilik hotel. Tatkala terpandang sahaja telefon, saya lupa untuk menyambung tidur yang terganggu tadi. Akhirnya mama sahaja yang terlena, sedangkan papa terpaksa melayan saya dengan telefon yang berwarna-warni itu.

Tatkala melewati petang, kami bertiga keluar membeli-belah. Mama awal-awal lagi merancang untuk membawa pulang bekas melamine dan coklat ke Kuala Lumpur. Tidak lupa juga beberapa helai kain batik dan kemeja t. Terlalu asyik barangkali, sedar tak sedar jam 9 malam saya masih belum selesai berbelanja. Dari petang sampai ke malam, kami hanya berlegar di sekitar 3 blok deretan kedai pekan Kuah.

air-asia: budak-budak comel macam saya ni boleh naik dulu... hehehe!

Hari keempat, hari terakhir kami di Langkawi. Penerbangan pulang dijadualkan berlepas jam 12.50 tengah hari. Masih sempat untuk saya menghabiskan sisa-sisa perbelanjaan yang tertinggal. Lantas, saya singgah lagi di Pekan Kuah, membeli ole-ole yang tidak sempat dibeli semalam. Sampai sahaja di lapangan terbang, saya mendapat tahu penerbangan telah dijadualkan semula pada jam 1.20 tengah hari, bermakna tempoh berada di Langkawi dilanjutkan lagi 30 minit. Sempat jugalah bergambar kenangan dan berkejaran dengan papa dan mama di sekitar lapangan terbang.

Akhirnya petang itu kami sampai juga ke Terminal Kos Murah LCCT. Melihat bebanan yang dibawa dari Langkawi, kami bercadang untuk mengambil teksi sahaja untuk sampai ke KLIA, namun setelah diberitahu kami terpaksa membayar lebih dari RM30.00 untuk satu perjalanan yang kami fikirkan tidaklah berapa jauh, kami batalkan sahaja niat tersebut dan rela bersusah payah membawa segala barangan kami menaiki bas sahaja.

Berakhirnya satu perjalanan menjelajah pulau lagenda bererti berakhirnya satu perjalanan yang memenatkan tapi amat seronok. Ibarat kata pepatah, makan tak kenyang, tidur tak lena. Yang pasti cuma mandi sahaja yang basah. Impian seterusnya di Langkawi adalah untuk menyaksikan pameran udara dan maritime langkawi. Bila? 2009 barangkali……

No comments: