Suasana dalam bilik kecil itu agak tegang. Bonda yang pada mulanya kuat dan bertenaga semakin lemah tidak bermaya. Ayahanda masih setia disisi bonda kelihatan agak lesu setelah berjaga sepanjang malam tidak ketinggalan menemani bonda untuk berkongsi keperitan yang dialami.
Pagi itu, tatkala fajar mula melimpahkan sinarnya, saat yang ditunggu akhirnya tiba juga. Buat pertama kalinya bonda bertarung nyawa dan berjuang demi satu kehidupan. Semuanya kerana saya. Saya menjadi subjek utama mengapa peristiwa ini terjadi.
Tapi itu telah pun berlalu genap setahun yang lalu.
Sejak itu, bermulalah episod baru dalam kehidupan ayahanda & bonda, malah secara tidak langsung turut melibatkan semua insan yang mengenali ayahanda & bonda. Saya ibarat penyeri dalam kehidupan kami sekeluarga. Setiap perlakuan saya menjadi kegembiraan buat ayahanda & bonda. Setiap hari saya dibelai, dikasihi dan disayangi dengan sepenuh hati. Satu hari nanti, saya pasti akan membalasnya dengan mengasihi dan menyayangi ayahanda & bonda dengan sepenuh hati.
Beberapa kisah kejayaan telah dicapai oleh ayahanda & bonda sepanjang tempoh satu tahun kehadiran saya. Kata orang, “itu rezeki anak”, tapi kata ayahanda, “rezeki bukan datang dari anak, tapi dari Allah untuk anak-anak”. Lucu juga apabila sesekali mendengar papa berfalsafah. Namun, perlu juga dinyatakan di sini dua kejayaan besar yang telah dikongsi oleh ayahanda, bonda dan saya.
Pelbagai lagi kisah suka dan duka dikongsi bersama ayahanda & bonda dalam jangka waktu satu tahun pertama ini. Selagi berkemampuan, kisah-kisah tersebut bakal dicoretkan di dalam blog ini untuk tatapan dan kenangan di kemudian hari.
Setahun telah pun berlalu. Hari-hari mendatang pasti tiba. Kehidupan ini masih hijau. Masih banyak cabaran yang harus ditempuh, kerana perjalanan ini masih jauh, malah teramat jauh.
Selamat ulang tahun kelahiran pertama, AL-IRFAN.