Thursday, October 11, 2007

MALAYSIA HISTORY

10-10-2007, tepat pada jam 9.21 malam, satu lagi sejarah tercipta buat negara setelah seorang warganegara Malaysia berlepas (lift-off) dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan menuju ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang letaknya kira-kira 333km dari atmosfera bumi, menandakan rakyat Malaysia pertama dan antara 500 (464-466) manusia pertama dalam sejarah manusia berjaya sampai ke angkasa.

Dr Sheikh Muszaphar Shukor (Dr. SMS), 35, telah memahatkan namanya selaku angkasawan pertama negara, 46 tahun selepas Yuri Gagarin memulakannya. Terdetik rasa bangga dan gembira, akhirnya Malaysia telah melahirkan seorang personaliti yang tidak ada kaitan dengan dunia hiburan, terutama sekali reality tv (kononnya…)

Wajah angkasawan pertama negara. Beliau merupakan seorang pakar bedah ortopedik di HUKM, yang juga model sambilan serta rakan niaga di Restoran Rebung, Bangsar – ketika berusia 35 tahun, anak kepada Datuk Sheikh Mustapha Shukor dan Datin Zuraida Sheikh Ahmad (oohhh… memang keturunan pak sheikh rupanya).

famous picture of Dr. SMS inside the soyuz spacecraft








Liputan yang diberikan oleh media tempatan tentang program angkasawan negara memang luar biasa. Ironinya bagi masyarakat dunia, kejayaan menghantar manusia adalah satu kejayaan yang besar... sangat besar. Buletin Utama yang biasanya tamat jam sebelum 9.00 malam dilanjutkan hingga 9.45 malam bagi memberi liputan langsung acara ini. Perlu juga dinyatakan nama Kapten Faiz Khaleed, seorang lagi calon akhir dan teman pelatih Dr. SMS turut layak setelah melepasi semua ujian dan cabaran yang ditetapkan, namun hanya seorang yang terpilih.

(berita selanjutnya sila rujuk lampiran di bawah)

Satu lagi catatan sejarah yang mendapat liputan meluas media hanya sebelum pelancaran angkasawan bermula, iaitu pada 04-10-2007, buat pertama kalinya satu pembedahan pemindahan jantung dari seorang remaja lelaki (yang semestinya telah meninggal dunia) kepada seorang remaja perempuan yang bernama Tee Hui Yee. Mengikut media, pembedahan itu telah pun berlangsung sehingga 10 jam, dan Irfan dapat bayangkan betapa sukarnya pembedahan itu sehingga memaksa pasukan bedah yang diketuai oleh Dr Ezani mengambil masa 10 jam. Pembedahan tersebut berlaku di Institut Jantung Negara (IJN)

Kedua-dua catatan diatas merupakan julung kali berlaku buat negara.

Kedua-dua catatan diatas turut mempunyai kaitan dalam bidang perubatan.

So, Irfan, do you dare to be a medical doctor ?

Bangsa Melayu masih punya harapan, masih cemerlang, gemilang dan terbilang, bukan sekadar layak di pusat serenti atau penjara.

Asal hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih.

Irfan menulis untuk satu lagi sejarah negara.

Lampiran :

BAIKONUR, Kazakhstan 10 Okt. – Dengan iringan doa, perasaan bangga serta kesedaran bahawa tiada lagi perkara mustahil yang tidak dapat dilakukan oleh rakyat Malaysia, angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor meluncur ke angkasa dengan kapal angkasa Soyuz TMA-11 tepat pukul 7.21 malam waktu tempatan di sini malam ini.

Pelancaran roket Soyuz sepanjang 50 meter itu dilakukan dalam keadaan cuaca sejuk dan langit cerah tanpa awan.

Di Malaysia yang pada waktu itu pukul 9.21 malam, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama lebih 10 juta rakyat Malaysia terpaku di depan skrin televisyen menyaksikan detik-detik bersejarah itu.

Ketika imej Sheikh Muszaphar yang berada dalam Soyuz yang dipacu roket selaju 26,000 kilometer sejam terpapar di skrin televisyen, rakyat Malaysia bersorak kegembiraan kerana perjalanan angkasawan itu dianggap sebagai simbol kehebatan baru bangsa.

Kapal angkasa Rusia, Soyuz TMA-11 yang membawa Sheikh Muszaphar, 35, bersama dua krew lain dilancarkan dengan jaya dari tapak pelancar di Baikonur Cosmodrome dekat sini.

Roket itu menuju ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang terletak 333 kilometer dari muka Bumi. Soyuz mengambil masa selama dua hari perjalanan mengelilingi orbit sebelum dijangka tiba di limbungan ISS.

Soyuz dijadualkan mendarat di ISS pada pukul 8 malam 12 Oktober ini di mana Sheikh Muszaphar akan berada di sana selama sembilan hari sebelum kembali ke Bumi.

Dua krew lain dalam Soyuz yang dilancarkan malam ini ialah Yuri Malenchenko, 45, dari Rusia yang merupakan veteran ISS dan Peggy Whitson, 47, dari Amerika Syarikat, iaitu wanita pertama yang bakal mengetuai operasi di ISS apabila mereka tiba di sana nanti.

Whitson pernah tinggal di ISS selama enam bulan.

Di ISS, Sheikh Muszaphar, seorang doktor bedah ortopedik yang berasal dari Negeri Sembilan, akan menjalankan tiga eksperimen berkaitan sel barah, bakteria dan pengkristalan protein.

Beliau akan kembali ke Bumi pada 21 Oktober dengan dua angkasawan Rusia yang telah berada di stesen itu sejak enam bulan lalu iaitu komander Fyodor Yurchikin dan jurutera penerbangan Oleg Kotov.

Yurchikhin dan Kotov tiba di ISS pada 9 April lalu dengan Soyuz TMA-10 manakala seorang lagi angkawasan yang berada di situ, Clayton Anderson pula mendarat dengan kapal angkasa Atlantis milik Amerika Syarikat (AS) pada 10 Jun lalu.

Sheikh Muszaphar dijadualkan meninggalkan ISS bersama Yurchikhin dan Kotov pada 21 Oktober dengan kapal angkasa Soyuz TMA-10 yang ketika ini berlabuh di ISS.

Whitson dan Malenchenko akan terus berada di ISS sebagai krew baru stesen angkasa itu bersama Anderson yang berada di situ sejak Jun lalu.

Program angkasawan Malaysia yang menyaksikan Sheikh Muszaphar dapat menerokai angkasa merupakan persetujuan timbal balik pembelian 18 jet pejuang Sukhoi SU-30 MKM bernilai RM3.4 bilion dari Rusia yang ditandatangani pada 5 Ogos 2003.

Beliau dan Kapten Dr. Faiz Khaleed merupakan dua calon terakhir daripada 11,275 rakyat Malaysia yang memohon menjadi angkasawan pertama negara ketika tawaran dibuka pada 2003.

Malam ini semua stesen televisyen di Malaysia menayangkan pelancaran itu termasuk Astro, pengendali stesen televisyen satelit berbayar Malaysia, stesen Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), TV3, CH9 dan TV8.

Delegasi Malaysia yang diketuai oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis telah berada di Baikonur di sini sejak kelmarin bagi menyaksikan pelancaran roket Soyuz.

Baikonur Cosmodrome merupakan tapak pelancaran yang digunakan oleh Rusia untuk menghantar Yuri Gagarin ke angkasa lepas pada 1961.

Di Kuala Lumpur, Perdana Menteri, Abdullah dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyaksikan siaran langsung pelancaran Soyuz TMA-11 dari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Bercakap kepada pemberita, Abdullah berkata: “Dengan menerokai angkasa lepas, kita membuat pelaburan bagi anak-anak kita, masa depan kita, membina jambatan yang merapatkan bidang-bidang ini ke dalam imaginasi anak muda.

“Perjalanan hebat ini, yang kita semua secara tidak langsung bersama melakukannya dengan angkasawan kita, akan membolehkan anak-anak kita untuk memikirkan bahawa impian boleh menjadi realiti.”

Sumber: Utusan Online

No comments: