Tuesday, March 11, 2008

12TH GENERAL ELECTION

8 Mac 2008 - Pilihanraya umum ke-12, satu proses demokrasi untuk memilih kerajaan memerintah negara Malaysia. Pertama kali mama atas kapasitinya sebagai kakitangan kerajaan telah diarahkan untuk bertugas di pusat pengundian, SK Pusat Bandar Puchong 2. Subuh lagi mama keluar menuju ke tempat pengundian yang terletak kira-kira 300 meter sahaja dari rumah. Barangkali banyak persiapan yang perlu dilakukan sebelum pusat pengundian dibuka pada jam 8.00 pagi.

Jam 11.45 pagi, saya menemani papa ke pusat pengundiannya di SK Serdang, yang terletak dalam kawasan UPM. Kata papa undi adalah rahsia. Oleh itu saya tidak pasti apakah yang dipilih oleh papa. Namun papa sempat berbisik kepada saya untuk merosakkan undi bagi kawasan parlimen disebabkan kedua-dua individu yang dicalonkan tidak memenuhi kriteria pemilihannya. Namun begitu papa tekad dengan pilihannya untuk kawasan negeri.
Malamnya kami bertandang ke rumah saudara mama di Kota Damansara di mana berlangsungnya majlis pernikahan sepupu mama. Setelah majlis pernikahan selamat dilangsungkan, dan sementara kedua pengantin menjalani sessi fotografi di bilik tingkat atas, televisyen menjadi tumpuan kami untuk mengikuti keputusan terkini pilihanraya. Ketika yang dewasa tertumpu kepada keputusan pilihanraya, saya dan saudara seangkatan ceria bermain bersama.

Keputusan pilihanraya kali ini paling mengejutkan dalam sejarah. Pembangkang berjaya menawan 4 negeri selain mengekalkan pemerintahan di Kelantan dan menambah bilangan kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan, ibarat Kuala Lumpur pembangkang yang punya. Sokongan terhadap parti memerintah turut berkurangan dengan penafian majoriti 2/3 di kerusi parlimen selain kekurangan majoriti di kebanyakkan tempat. Pembangkang turut memecah dominasi parti memerintah di DUN yang sebelum ini 100% milik parti memerintah. Penganalisis politik menyifatkan kejadian ini sebagai 'Tsunami Politik'.

Pihanraya seterusnya, saya akan berumur 6 tahun. Sepanjang tempoh pemerintahan ini, diharap akan berlaku satu pembaharuan yang akan mewarnai corak kepimpinan di negara ini.