Monday, December 04, 2006

SPLASH & WET

Event: PNB-ITD FAMILY DAY 2006
Date: December 02, 2006
Venue: Desa Water Park, Kuala Lumpur

Pagi itu semua orang bangun awal. Saya yang tidak berapa sihat mungkin kerana sebatang lagi gigi atas mula tumbuh juga terpaksa bangun awal kerana kami semua begitu teruja untuk main air!

Kiranya inilah kali pertama dalam sejarah hidup saya menjejakkan kaki ke sebuah taman tema air. Saya hadir tepat jam 8.30 pagi, di waktu taman tema masih belum memulakan operasi permainannya, sedang pengunjung begitu ramai memenuhi taman tersebut. Cuti sekolah barangkali, di tambah dengan sejumlah empat syarikat korporat yang turut menjayakan hari keluarga masing-masing di tempat dan waktu yang sama. Sungguh meriah!

Tidak banyak yang boleh saya lakukan di sini memandangkan dengan saiz badan yang begitu kecil tidak mengizinkan saya beraksi dengan permainan yang disediakan. Walau pun kami puas pusing keliling taman, saya cuma diberi peluang oleh ayahanda & bonda hanya untuk bergambar sahaja. Sungguh mengecewakan!

Ayahanda & bonda juga dapat banyak hadiah. Selain dari hadiah cabutan bertuah yang saban tahun menjadi agenda wajib sambutan Hari Keluarga ITD, ayahanda berjaya menggondol kejuaraan dalam acara "lari dalam air sambil pakai pelampung beramai-ramai". Bonda yang tidak sempat turun ke kolam kerana pasukan telah tertinggal jauh cuma berpuas hati di tempat kedua. Menang atau kalah, hadiah yang diterima tidak jauh beza.

Dalam keseronokan, terasa letih dan lapar. Letih setelah 'dipaksa' ayahanda & bonda beraksi di hadapan kamera. Lapar kerana sukar menikmati makanan dengan selesa. Akhirnya, saya terus melelapkan mata sebaik sahaja kereta dipandu ayahanda bergerak pulang ke rumah.

Tuesday, November 14, 2006

MOVING FORWARD

Malam itu gerimis lagi, seperti malam-malam sebelumnya. Ayahanda & bonda enak menikmati mi segera super-pedas hasil kerja tangan ayahanda sambil berbual-bual kosong di meja makan, saya bersendirian bermain-main di hadapan peti televisyen.

Ketika itulah saya mendapat satu kekuatan baru. Kekuatan yang akan membawa saya bergerak lebih jauh. Kekuatan yang akan membawa saya terus maju ke depan.

Tatkala lengan dan lutut teguh berdiri, satu persatu langkah di atur, ibarat perwira gagah berani, demi membuktikan kepada ayahanda & bonda bahawa masanya telah tiba untuk saya menjelajah ke dunia yang lebih luas.

Kadangkala langkah ini tersadung jua, jatuh tersungkur apabila halangan gagal dirintangi. Namun dengan semangat membara, terus bangkit meneruskan langkahan gagah perkasa.

Ayahanda & bonda ternyata gembira, melihat al-irfan merangkak buat julung kalinya.

Usia : 8 bulan 23 hari.
Masa: 9.15pm, 13 November 2006.

Monday, October 30, 2006

Salam Lebaran 1427H

Dalam meniti usia sebuah kehidupan seawal lapan bulan, Aidilfitri datang buat pertama kalinya menggamit tubuh kecil ini bagi bersama-sama meraikan hari yang mulia. Kata bonda, cara sambutan kami adalah mengikut sistem giliran, di mana tahun ini pagi Aidilfitri akan disambut di kampung ayahanda, kemudiannya baru ke kampung bonda. Seminggu bercuti, cukuplah untuk beraya di kedua-dua belah pihak.

Beraya di kampung ayahanda semestinya meriah. Bunyi letupan mercun dan percikan bunga api di sana-sini, bagaikan menyahut suara takbir dari masjid berdekatan. Sanak-saudara, sahabat-handai serta jiran-tetangga saling ziarah menziarahi antara satu sama lain, sebaik mungkin cuba memanfaatkan keberkatan Aidilfitri. Menu istimewa di pagi raya pula, nenek menyediakan set nasi minyak serta ketupat daun palas yang dicecah dengan rendang daging.

Keadaan berbeza sekali apabila pulang beraya ke kampung bonda, kalaulah boleh dikatakan kampung memandangkan Tok Ma & Tok Ayah masih tinggal bersama Ayah Long di Putra Heights. Silap perancangan barangkali, Tok Ma & Tok Ayah tiba-tiba ke Ipoh, beraya bersama sanak-saudara di sana. Sunyi-sepi. Maka tinggallah kami bertiga beraya di depan TV sahaja. Semoga suatu hari nanti Tok Ma & Tok Ayah akan pulang ke kampung yang sebenarnya bagi menjalani kehidupan yang lebih sempurna.

Hasil kutipan duit raya untuk tahun pertama ini tidak mengecewakan. Sekurang-kurangnya ayahanda dan bonda tidaklah menghulur kepada anak-anak lain sahaja setelah punya anak sendiri yang turut menerima sumbangan ikhlas duit raya.

Monday, September 04, 2006

Hanya Satu Persinggahan

Air sungai yang mengalir di Hutan Lipur Lentang sejuk sekali hinggakan ayahanda dan bonda tertawa sendiri melihat saya menggeletar kesejukan, tetapi masih teruja tersenyum tertawa bermain air yang mengalir deras dari celahan batu di tengah hutan belantara ini. Inilah tempatnya pada tanggal 3 September 2006, tempat pertama saya berendam di dalam sungai sambil berkelah.

Ayahanda yang paling seronok sekali apabila dapat bersama-sama bonda dan saya menikmati sejuknya air sungai yang masih belum tercemar ini. Ayahanda pernah datang ke tempat ini lama dahulu, sewaktu di bangku sekolah rendah setelah diperkenalkan oleh saudaranya yang pernah tinggal di sekitar kawasan hutan simpan ini.

Belum sempat ayahanda dan bonda menjamah makanan yang dibekalkan oleh nenek dari kampung, tiba-tiba hujan turun mencurah-curah. Kelam-kabut kami berkemas dan menyelamatkan diri dari terkena hujan. Mujur juga di dalam hutan pokoknya banyak, seolah-olah menangkis dan mengurangkan kuantiti air yang turun sebelum jatuh ke bumi. Akhirnya, kami berkelah di dalam kereta sahaja.

Perjalanan pulang ke Kuala Lumpur terpaksa diteruskan walaupun pada hakikatnya kami belum puas lagi berendam dan berkelah dengan sempurna, menyambung kembali perjalanan selama lima jam sebelumnya dari Dungun. Saya terasa amat letih, kerana kesejukan atau kekenyangan barangkali. Dan tidur ini pasti ada hinggalah sampai ke rumah.

Wednesday, August 30, 2006

Ipoh Mali

Kami ke Ipoh pula. Bukan saja-saja bercuti, tetapi ayahanda diarahkan ke sana bagi melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf pejabat cawangan di Ipoh. Bonda mengambil kesempatan ini untuk membawa saya melawat saudara-mara yang bermastautin di Ipoh memandangkan saya belum pernah ke sana. Sementelah keluarga bonda berasal dari Perak, maka ramai sanak saudara yang perlu diperkenalkan kepada saya. Walaupun ada diantara mereka yang pernah saya jumpa di Kuala Lumpur, tetapi lawatan ini julung kalinya saya akan menjadi tetamu mereka. Ternyata mereka gembira sekali melihat kehadiran saya ketika bertandang ke rumah mereka. Dan seperti biasa, pipi tembam ini menjadi habuan mereka.

Kali ini ayahanda tidak menginap di hotel seperti kebiasaannya apabila beliau diarahkan bertugas ke luar kawasan. Rumah tumpangan kami ialah rumah Acik yang terletak di Batu 6, Kampung Tersusun, Ulu Kinta. Ayahanda hilang arah sewaktu mencari rumah Acik, maklum sajalah, ayahanda bukannya biasa sangat dengan kedudukan geografi kawasan Ipoh. Mujur juga Auntie Nora dan Acik datang menjemput kami di suatu tempat, sisi jalan berhampiran sebuah restoran india.

Tiga hari di bandaraya Ipoh serta menjadi tarikan utama sesiapa jua yang memandang mengubah karekter saya menjadi aktif. "Hikmat Gerakan Berenang di atas Lantai" semakin menunjukkan kemajuan, disusuli dengan "Hikmat Pusingan 360 darjah tidak terbatas". Dan yang paling menarik, dua batang gigi bawah mula menjelma, membuktikan usia yang semakin meningkat.

Hujung minggu ini saya akan bermusafir lagi. Kali ini pulang ke kampung ayahanda pula. Pohon nyiur yang melambai disulami dengan deruan ombak menghempas pantai seakan-akan menggamit kepulangan yang di nanti ini. Dan seperti biasa, perjalanan yang panjang ini pasti menjanjikan tidur yang nyenyak dan selesa.

Tuesday, August 01, 2006

Hijrah itu Pengorbanan

Beberapa minggu kebelakangan ini ayahanda dan bonda sibuk mengemas rumah. Barang-barang yang biasanya tersusun rapi semuanya disusun ke dalam kotak. Walaupun ayahanda pula sudah beberapa hari tidak ke pejabat, tetapi rutin hariannya tetap seperti biasa, keluar pagi dan pulang lewat petang. Cuma bezanya pada pakaiannya. Pakaian ayahanda tidak kemas seperti biasa. Rupanya ala kadar sahaja, dan apabila pulang, pakaian ayahanda penuh dengan calitan cat pelbagai warna.

Hari itu hari Sabtu, 29 Julai 2006, ayahanda dan bonda begitu sibuk. Kata bonda kami akan berpindah setelah lebih 2 tahun menetap di Puncak Jalil. Bondamemohon untuk tinggal di kuaters kerajaan yang berhampiran dengan tempat kerjanya. Syukur pada Tuhan, setelah beberapa bulan menunggu, akhirnya permohonan bonda diluluskan. Pada saya, Pusat Bandar Puchong bukan sahaja dekat dengan tempat kerja bonda, malah berhampiran juga dengan tempat-tempat yang biasa menjadi persinggahan kami seperti pusat membeli-belah, rumah Ayah Long dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya. Kebetulan pula Ayah Long juga turut berpindah sehari selepas kami berpindah. Kasihan ayahanda yang masih belum hilang lagi penat berpindah rumah sendiri, dengan barang dan kotak yang masih belum sempurna susunannya, terpaksa pula membantu Ayah Long berpindah sebagai timbal balas bantuan yang Ayah Long berikan sewaktu kami berpindah.

Berpindah rumah memang suatu perkara yang memenatkan. Tapi kami harus berhijrah ke arah kehidupan yang lebih baik. Menyewa di Puncak Jalil yang jauh dari segala-galanya menagih lebih banyak wang, masa dan tenaga untuk dihabiskan. Kami tahu banyak manfaat yang terperoleh hasil dari penghijrahan ini. Makcik di sebelah rumah baru berbesar hati sudi menjaga saya sepanjang ayahanda dan bonda bekerja.

Di sinilah tempatnya saya akan menghabiskan masa untuk beberapa tahun akan datang. Semoga kehidupan kami sekeluarga akan bertambah baik, Insya-Allah.

Tuesday, July 18, 2006

Sayang Tok Aki

Arwah Tok Aki sudah lama sakit. Sebelum ini pun, kakinya terpaksa di potong sebanyak 2 kali akibat jangkitan kuman gara-gara penyakit kencing manis. Tok Aki terpaksa berhijrah dari Tapah ke Kelang kerana Tok Chik yang merupakan satu-satunya anak lelaki Tok Aki sudi berkorban jiwa dan raga menjaga arwah Tok Aki. Lepas arwah Tok Aki menjalani pemotongan kali pertama, Tok Aki semacam sudah hilang semangat. Kesian Tok Aki.

Saya langsung tidak menyangka kunjungan pada waktu tengah hari, beberapa jam sebelum Tok Aki pergi buat selama-lamanya merupakan detik-detik terakhir saya dengan Tok Aki. Walau pun kelihatan agak lemah, namun saya masing mampu ditimang dan dicium oleh Tok Aki. Kiranya sayalah cicit terakhir yang ditemui, ditimang dan dicium Tok Aki sepanjang hayatnya.

Petang itu, tanggal 16 Julai 2006 sedang ayahanda dan bonda sibuk menyiapkan tugasan mengecat rumah baru kami di Puchong, bonda di kejutkan dengan beberapa panggilan telefon yang menyatakan keadaan semasa Tok Aki. Air mata bonda sudah tidak dapat dibendung lagi. Lantas mereka membuat keputusan untuk menghentikan kegiatan mengecat rumah dan terus bergegas ke rumah Ayah Long untuk bersiap sedia sekiranya terjadi sesuatu yang tidak diingini.

Dan akhirnya sesuatu yang tidak diingini itu berlaku juga. Tepat jam 5.35 petang, Tok Aki akhirnya pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya. Air mata bonda mengalir deras mendengar berita itu.

Malam itu, di rumah Tok Chik, sekali lagi saya bertemu dengan Tok Aki. Tiada lagi timangan manja dari Tok Aki, tiada lagi ciuman mesra dari Tok Aki. Hanya sekujur tubuh kaku terbaring, diiringi esak tangis dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran menyambut ketibaan saya.

Semoga roh Tok Aki bersemadi dengan aman bersama roh orang-orang yang soleh. AL-FATIHAH.

Monday, June 26, 2006

EXPLORING THE HISTORICAL CITY

Episod I:
Ayahanda terus memecut keretanya merentasi Lebuhraya Utara Selatan dalam hujan renyai menuju ke Negeri Melaka. Saya yang terjaga dari lena mula berasa bosan tatkala menyedari destinasi yang dituju masih belum kesampaian.

"Cuma beberapa minit sahaja lagi. Kamu cuba bersabar ya! Jangan bising!", tegas ayahanda tatkala melepasi Restoran Jejantas Air Keroh. Ayahanda risau andainya saya terus merengek, ayahanda terpaksa berhenti bagi menyediakan susu untuk saya, sekaligus memanjangkan lagi masa perjalanan malam itu sedangkan jam sudah menunjukkan 10.15 malam dan destinasi yang dituju hanya tinggal beberapa kilometer sahaja lagi. Bagaikan memahami arahan ayahanda, akhirnya saya diam saja tatkala ayahanda berbual-bual dengan saya.

Saya hadir di Melaka Bandaraya Bersejarah, pada malam 23 Jun 2006, buat pertama kali dalam hidup persis Laksamana Hang Tuah yang berjaya membawa pulang Puteri Hang Li Po untuk sultannya, sekurang-kurangnya dari segi sambutan yang diberikan oleh kawan-kawan bonda yang nampaknya begitu teruja melihat ketibaan saya. Tambah-tambah lagi bonda yang begitu gembira sekali melihat saya sudah pandai berdiri. Kebetulan pula Perdana Menteri juga berada di Melaka. Oleh itu pemandangan di sekitar Air Keroh dan Bandar Melaka tampak lebih indah dari biasa. Sementelah bonda pula berkursus dan menginap di MITC, tempat di mana aktiviti yang melibatkan Perdana Menteri berlangsung. Maka bertambah berserilah suasana.

Episod II:
Walaupun ayahanda tidak bekerja pada hari ini, beliau terpaksa juga bangun awal untuk menghantar bonda dari hotel penginapan kami ke tempat bonda berkursus. Saya yang tidur lewat malam tadi terpaksa juga mengikut ayahanda walaupun masih belum puas tidur.

Mujur juga pada waktu bonda berkursus, biliknya kosong. Saya dan ayahanda tidak melepaskan peluang ini untuk melelapkan mata walaupun sekali-sekala saya terjaga kerana kesejukkan.

"Ayuh bersiap. Kita nak keluar", ujar bonda sebaik sahaja programnya tamat menjelang tengah hari itu.

Perjalanan pada hari itu bermula dari Ancasa Hotel menuju ke Melaka Sentral kerana menghantar kawan bonda untuk pulang bercuti ke rumah menemui anaknya yang sebaya dengan saya. Kemudian kami terus menuju ke Mahkota Parade kerana bonda dan kawan-kawannya sudah tidak sabar lagi hendak bermain bowling. Mujur juga ada peta jalan yang banyak memandu arah kami menjelajah bandar Melaka ini. Kalau tidak, sudah pasti ayahanda hilang arah atau sesat ke suatu tempat yang tidak pasti.

Lewat senja itu, kami menuju pula ke Umbai. Kata ayahanda, Umbai terkenal dengan makanan lautnya.

"Istimewa sekali ikan bakarnya', kata ayahanda sewaktu menghasut bonda dan kawan-kawannya untuk makan di sana.

Saya tidak pasti bagaimana rasanya ikan bakar, tapi melihat cara ayahanda dan bonda meratah terubok bakar yang dicicah bersama sambal kicap, saya yakin makanan itu pastinya lazat. Bukan terubok bakar sahaja yang dipesan, malah ada juga kerang bakar, sotong masak keju, kupang masak masam manis dan juga sayur kailan yang dimakan bersama nasi lemak.

"Pertama kali datang, alang-alang berpenat dari jauh, baik makan puas-puas. Nanti menyesal pula", kata ayahanda menyedapkan hatinya barangkali apabila terpaksa membayar hampir RM80 untuk santapan makan malam bagi empat 4 orang.

Episod III:
Lewat petang itu, saya bersiap sedia untuk pulang ke Kuala Lumpur sedang manusia berduyun-duyun menuju ke MITC Air Keroh. Khabarnya ada majlis santapan makan malam terbuka untuk sesiapa sahaja. Saya tidak pasti majlis itu berkaitan dengan apa, jadi kami tak ambil kisah sangat. Lagipun ayahanda dan bonda telah pun menikmati hidangan makan malam yang enak di hotel.

"Dah sampai nanti telefon bonda ok?", pinta bonda sambil mencium pipi saya yang agak berisi ini berkali-kali. Melepaskan geram barangkali kerana kami akan berpisah lagi untuk empat hari berikutnya.

"Kamu jangan nakal-nakal ya. Jangan ganggu ayahanda nak memandu", pesanan terakhir bonda lalu meletakkan saya ke dalam bakul di sebelah tempat duduk pemandu. Saya memandang wajah bonda, jelas ada sedikit kesayuan di situ.

Saya mengambil keputusan untuk tidur sahaja bagi memberi peluang kepada ayahanda memandu dengan penuh tumpuan. Kata ayahanda, kami perlu sampai sebelum perlawanan bola sepak bermula. Barangkali terganggu dengan perjalanan yang tidak lancar akibat kesesakan lalu lintas ketika menghampiri bandar Seremban, saya akhirnya terjaga dan tanpa dapat ditahan-tahan lagi saya laparkan susu. Kali ini ayahanda akur dengan kehendak saya dan terus mencari hentian rehat yang terdekat. Lega rasanya dapat menikmati susu bancuhan ayahanda.

Akhirnya pengembaraan ini tamat juga pada jam 10.00 malam. Tatkala ayahanda memberhentikan kereta di luar rumah Ayah Long, Tok Ayah menyambut kepulangan saya dengan gembira. Ayahanda juga turut gembira kerana masih punya waktu untuk pulang ke rumah menyaksikan perlawanan bola sepak.

As a record: England 1 – Ecuador 0

Tuesday, June 20, 2006

Selamat Berkursus, Bonda...

Pagi ini dingin sangat. Hujan turun mencurah-curah bagaikan menangisi perpisahan yang akan berlaku antara saya dengan bonda. Saya tersedar yang ayahanda tiada di sisi.

"Ayah kamu pulang ke rumah. Dia tidak tidur di sini, takut lewat ke tempat kerja", bonda memberitahu tatkala Tok Ma datang menjenguk pagi ini.

Saya dan bonda bermalam di rumah Ayah Long. Hari ini bondaa akan berkursus ke Melaka. Mujur juga Tok Ayah sudi menemankan bonda menaiki bas di Shah Alam. Kalau tidak, pasti ayahanda terpaksa mengorbankan cuti sedangkan ayahanda juga sedang berkursus di pejabatnya.

Buat pertama kalinya, malam ini tidur saya tidak lagi ditemani bonda. Hari ini, besok dan sepuluh hari berikutnya. Mujurlah ayahanda berjanji untuk membawa saya berjumpa bonda pada hari minggu nanti.

Friday, June 16, 2006

FIRST NIGHT

Malam tadi ayahanda buat rekod. Memandu dari rumah ke Equine Park sepatutnya hanya mengambil masa 5 minit sahaja, tapi malam tadi ayahanda buat 30 minit.

Dan untuk rekod lagi, buat pertama kali dalam sejarah, keadaan lalu lintas di sekitar Equine Park sesak teruk, terasa bagaikan berada di Jalan Tun Razak pada waktu puncak. Semuanya gara-gara Jusco Equine yang julung kali memulakan operasi.

"Oh! Rupanya sudah ramai yang menghuni kawasan ini", kata ayahanda yang langsung tidak menyangka akan menjadi mangsa kesesakan malam itu.

" Pastinya harga rumah di kawasan ini meningkat berganda-ganda", bonda menyampuk sambil ayahanda membayangkan suasana di kawasan itu 2 tahun yang lalu. Tiada apa yang boleh dibanggakan, malah kalau diberitahu Puncak Jalil, pasti ramai yang keberatan untuk sudi bertandang.

30 minit kemudian, kami bertiga berjaya juga menempuh kesesakan tersebut dan ayahanda dengan segera mencari petak letak kereta yang masih kosong. Ahhh... kebetulan pula, ianya terletak betul-betul di hadapan pintu masuk pusat membeli-belah itu.

Suasana di dalam amat mengagumkan. Manusia yang entah dari mana datangnya bersama-sama memeriahkan malam pertama Jusco Equine. Seperti juga ayahanda dan bonda, mereka pastinya mengharapkan sesuatu yang istimewa pada malam itu, walaupun ianya cuma sebiji belon.

Malam semakin tua. Manusia-manusia ini semakin gila berbelanja walaupun tiada harga runtuh ditawarkan. Cuma sedikit promosi pengubat duka. Dan saya terlena juga di pangkuan ayahanda sedang bonda masam mencuka menunggu giliran untuk membuat pembayaran.

Akhirnya kami pulang..... hampa.......

Saturday, June 10, 2006

An Evening in Kuala Terengganu

Pagi-pagi lagi bonda dah kejutkan saya, mandikan saya. Airnya memang sejuk, tapi bonda dah campurkan dengan air panas, maka jadilah ia air suam. Katanya nak ke Kuala Terengganu, ada kenduri kahwin sepupu ayahanda.
Suasananya memang meriah. Orang tak putus-putus datang. ayahanda sibuk membantu apa yang perlu. Bonda pula setia menjaga dan menurut segala kehendak saya. Oleh kerana orang ramai sangat yang datang, ditambah pula dengan suhu yang amat panas, peluang untuk saya melelapkan mata dengan sepuas-puasnya amat tipis.

"Irfan...Irfan..."
"Eh... comelnya budak nie"
"Aummm... cakkkkk!!!"

Mana yang bernasib baik tu, dapatlah melihat saya menguntum senyum mesra. Kalau keadaan rasa kurang selesa, saya buat-buat meragam, tapi meragam pun sikit-sikit je lah... nak meragam lebih-lebih terasa malu pulak pabila berada di rumah orang.

Esok saya akan pulang ke Kuala Lumpur, kota yang penuh cabaran dan dugaan... tak setenang deruan ombak di Pantai Teluk Ketapang.

Tuesday, June 06, 2006

06.06.06

Saya fikir tarikh ini cantik. Sahabat ayahanda di pejabat pun fikir begitu. Tidak seperti tahun-tahun sudah yang mempunyai tarikh seragam begini, tiada apa yang boleh saya dilakukan kerana tiada satu makhluk pun yang tahu akan kewujudan saya di atas muka bumi ini.

Melancarkan web blog sendiri mungkin salah satu idea yang bagus, lebih bagus daripada tiada apa yang boleh direkodkan pada tarikh yang cantik ini."Thanks ayahanda for documenting my life", ayahanda selalu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan saya. Ayahanda nak membiasakan saya dengan bahasa itu seawal yang boleh.

Rasanya masih belum terlewat untuk memulakan kisah hidup dalam satu catatan peribadi yang boleh digunakan hingga ke hujung nyawa. Mungkin juga ia dipunyai oleh pemilik paling muda.

Oh! Sudah 106 hari rupanya saya sudah melihat dunia, namun saya masih tidak mengerti apa-apa. Melihat wajah ayahanda dan bonda membuat aksi melucukan kadang-kadang rasa nak tergelak ada, rasa bosan pun ada.

Hari ini ayahanda demam. Dapat MC. Dapatlah saya bermain-main dengan ayahanda.